Saturday, 11 April 2015

Program Pemantapan Keluarga (Family On Alert)

Pada hari ini telah berlangsungnya Program Pemantapan Keluarga (Family On Alert - FOA) anjuran  PIBG SKTPP dengan kerjasama AADK Daerah Sepang & Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

Seramai lebih 170 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada ibu bapa dan guru. Tiga slot ceramah yang dirancang telah memberi manfaat kepada ibu bapa dan para guru dalam mendidik anak masa kini serta memantapkan institusi keluarga.

Buku program
Ceramah 1
Ceramah 2
Ceramah 3
Jualan PPDa

Edaran Bookmark Visi & Misi PPDa
Lagi laporan program FOA dalam blog SKTPP di sini dan blog PIBG SKTPP di sini.

Monday, 6 April 2015

Bimbingan oleh JPS & PPD

Jutaan terima kasih kepada dua orang sifu dalam PPDa iaitu Tn Hj Ghazali b Hj Anuar (Pegawai Kanan PPDa, JPS) dan En Zulfikri b Abu Samian (Pegawai Khas Dadah Sepang) yang telah hadir hari ini ke sekolah kami bagi membincangkan tentang persiapan pihak sekolah dalam pertandingan PPDa tahun ini.

Hasil perbincangan Hj. Ghazali telah berkongsi beberapa idea yang sangat menarik untuk tujuan kami memurnikan konsep asal Bilik Sumber PPDa SKTPP. Semoga bimbingan seperti ini akan berterusan sehingga hasrat kami untuk berjaya tercapai. Ameenn...



Thursday, 2 April 2015

Info 5 Minit AntiDadah (Laporan 4)

Tajuk                                   :  Pergantungan kepada dadah
Nama Sahabat PPDa          :  Tengku Haikal Aiman B Tg Norsyawalludin (6 Wira)
                                               Nurin Syaheera bt Roslan  (3 Surgeri)

Tarikh                                  :  2 April  2015

Isi-isi Info:

Pergantungan kepada dadah adalah keadaan keperluan secara fizikal atau psikologi atau kedua-duanya yang wujud daripada penggunaan dadah secara berterusan atau pada waktu-waktu tertentu. Dua jenis pergantungan kepada dadah apabila ianya digunakan secara kerap dan berterusan ialah:

i) Pergantungan secara fizikal
Pergantungan secara fizikal ialah satu keadaan di mana badan penagih memerlukan dadah dihentikan akan menimbulkan gejala-gejala tarikan. Gejala-gejala tarikan ialah tanda-tanda tertentu dari segi tingkahlaku dan fizikal seseorang penagih dadah yang ditunjukkan semasa tidak menggunakan dadah dalam masa tertentu. Antara tanda-tanda pergantungan fizikal ialah sakit perut, muntah-muntah, cirit-birit, menggeletar dan sebagainya.

ii) Pergantungan secara psikologikal
Pergantungan secara psikik atau psikologikal merupakan satu keadaan di mana penagih mengalami gian atau mengidam untuk menggunakan dadah supaya dapat berfungsi secara normal serta mencapai ketenangan jiwa.

Seseorang itu dikatakan telah bergantung pada dadah apabila :-

    • Penggunaan dadah menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian mengatasi keperluan-keperluan hidup yang lain seperti makanan dan minuman.
    • Daya tahan meningkat.
    • Mengalami gejala tarikan apabila tidak menggunakan dadah
    • Berasa terdesak atau gian untuk menggunakan dadah lebih-lebih lagi apabila cuba mengurang atau dapat mengawal jumlah dan kekerapan penggunaan.
    • Terdapat tarikan atau kecenderungan menagih semula setelah berhenti menggunakan untuk beberapa waktu

Tuesday, 31 March 2015

Tahniah SKTPP Naib Johan Bilik Sumber PPDa Negeri Selangor 2014

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT atas kejayaan SKTPP dinobatkan sebagai Naib Johan dalam Pertandingan Bilik Sumber PPDa Peringkat Negeri Selangor Tahun 2014 (laporan penghakiman sila klik di sini). Anugerah telah disampaikan semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan PPDa Negeri Selangor yang telah diadakan di Management & Science University (MSU), Shah Alam oleh Tn. Pengarah JPS; En. Zainuren bin Mohd. Nor.
   Terdahulu Guru Besar SKTPP; Pn. Rohaidah Mohd. Ali telah dijemput naik ke pentas untuk menerima Anugerah Pembangunan Bilik dan Laluan PPDa Terbaik Negeri Selangor.
   Tahniah atas kejayaan yang sungguh gemilang tersebut. Terima kasih buat JPS atas penghargaan istimewa ini. Sesungguhnya kami warga SKTPP sangat ikhlas komited dan serius membanteras dadah dan DARIH. Penghormatan ini akan memberi kami lebih semangat untuk melaksanakan program-program PPDa yang telah diamanahkan oleh KPM kepada semua sekolah di seluruh negara.
   Tahniah juga buat PPD Sepang atas kejayaan sebagai Pengurusan PPD Terbaik dalam Pengurusan PPDa Negeri Selangor!!
















Terima kasih atas sokongan PPD Sepang dan sekolah-sekolah di Sepang 

Thursday, 26 March 2015

Demonstrasi Anjing Pengesan Dadah & Tembakau

Demonstrasi Anjing Pengesan Dadah & Tembakau merupakan salah satu program yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh murid. Pada kali ini pihak sekolah telah menjemput Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai satu kelainan daripada tahun sebelum ini.

Demonstrasi ini dirancang khas bagi memberi pendedahan kepada seluruh warga sekolah berkaitan dengan cara pihak JKDM membanteras penyeludupan dadah.

Dua jenis demonstrasi telah dibuat iaitu pemeriksaan bagasi penumpang  dan pemeriksaan bungkusan kargo / pos. Seramai 6 orang pegawai daripada JKDM, Cawangan Narkotik telah hadir bersama 2 ekor anjing terlatih.

Setingi-tinggi penghargaan terima kasih kepada JKDM dalam menjayakan program ini. Kerjasama ini diharapkan mampu memberi pengalaman baru kepada seluruh warga SKTPP tentang kejayaan JKDM dalam memastikan masyarakat bebas daripada dadah.







"1Malaysia Banteras Dadah"

Wednesday, 25 March 2015

Lawatan Penanda Arasan Unit PPDa JPS ke SMK Seri Jengka

SKTPP telah diberi kesempatan untuk mengikuti lawatan penanda arasan Unit PPDa JPN Selangor ke sekolah Johan Bilik Sumber PPDa kategori Sekolah Menengah peringkat kebangsaan tahun lepas (2014). Terima kasih atas peluang yang diberi. Kami sangat menghargainya. Guru Besar dan Penyelaras PPDa SKTPP; Pn. Nor Arzah telah turut sama dalam lawatan tersebut. Semoga pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi akan digunakan untuk menambahbaik persiapan kami. Insya Allah berkat kerjasama semua guru dan warga sekolah kami akan memberikan yang terbaik semampu yang boleh. Di samping itu, kami akan cuba merancakkan lagi program dan aktiviti PPDa sepajang tahun hasil perkongsian idea dengan guru-guru SMK Seri Jengka dan rakan-rakan senegeri...