Sunday 25 August 2019

Berhasrat untuk Berhenti Merokok / Menghisap Vape?


Bagaimanakah perokok / vape boleh mendapatkan nasihat / bantuan sekiranya mereka berhasrat untuk berhenti?

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) yang boleh didapati hospital kerajaan dan kebanyakan klinik kesihatan. KBM ini dianggotai oleh satu pasukan yang terdiri daripada pegawai perubatan / doktor, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi dan jururawat.
KBM ini menawarkan perkhidmatan ujian saringan, perkhidmatan kaunseling dan juga rawatan terapi menggunakan ubat-ubatan (farmakoterapi) yang telah terbukti dibuat ujikaji dan terbukti dari keselamatan, keberkesanan dan kualitinya. Ianya terbuka untuk semua, baik yang muda, tua, kanak-kanak mahupun wanita mengandung.
Maklumat berkaitan dengan panduan dan tip-tip untuk berhenti merokok akan diberikan melalui sesi kaunseling oleh doktor dan pegawai farmasi. Bagi sesetengah keadaan, doktor akan mempreskrib ubat bagi membantu seseorang itu mengawal ketagihan dan akhirnya berhenti merokok, secara percuma.
Walaupun kos ubat sebenarnya adalah mahal, tetapi kerajaan sanggup berikan subsidi dan tanggung kos tersebut. Kenapa? Kerana kos untuk merawat penyakit yang boleh disebabkan oleh kegiatan merokok ini jauh lebih tinggi.
Tetapi perlu diingat, ubatan yang diberikan hanyalah sekadar membantu dan menyenangkan proses untuk berhenti merokok, tetapi apa yang paling penting adalah keinginan dan kesungguhan diri sendiri (willpower) untuk berhenti dari kegiatan merokok / vape ini.
Selain itu, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama beberapa universiti dan badan swasta, juga menyediakan perkhidmatan untuk berhenti merokok yang dipanggil Malaysia Quit atau mQuit yang bukan sahaja disediakan oleh fasiliti kerajaan, malah turut merangkumi hospital swasta, klinik-klinik swasta dan farmasi komuniti di luar sana. Untuk keterangan yang lebih mendalam, pendengar boleh ke laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my yang mana di situ juga anda boleh membuat carian mengenai fasiliti yang menawarkan perkhidmatan tersebut yang berdekatan dengan anda.