Latar Belakang

Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di SK Taman Putra Perdana (SKTPP) telah bermula pada tahun 2010. Pada tahun tersebut hanya diwujudkan Sudut PPDa di dalam Bilik Bimbingan dan Kaunseling (B&K). Pn Juli iaitu salah seorang guru B&K bersama beberapa orang Ahli Jawatankuasa dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal-hal berkaitan PPDa ini.

Pada tahun 2011, pihak pentadbiran sekolah telah bercadang untuk mewujudkan Lorong PPDa bersebelahan kantin sekolah. Lorong bersebelahan kantin telah ditutup dengan bumbung hasil sumbangan individu iaitu Tn. Haji Shaharudin bin Ajam yang juga merupakan YDP PIBG pada tahun berkenaan. Dengan dana hasil sumbangan pihak PIBG sekolah sebanyak RM2,000.00 pada tahun tersebut, lorong bersebelahan kantin telah berubah wajah dengan lukisan mural “Keluarga Bahagia”, “Bahaya Rokok” dan “Sengsara” yang berkonsepkan positif dan negatif. Guru yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan ha-hal berkaitan PPDa pada tahun ini ialah Pn. Nor Arzah yang juga merupakan guru B&K bersama beberapa orang AJK PPDa.

Kelangsungan Lorong PPDa yang diwujudkan pada tahun 2011, telah dipertanggungjawabkan kepada Pn Rozimah yang juga merupakan guru B&K pada tahun 2012. Hasil kerjasama AJK PPDa dan semua guru, beberapa penambahbaikan telah dibuat seperti mewujudkan sudut-sudut Dadah, Alkohol, Rokok, Inhalan dan HIV & AIDS (DARIH) di sekitar kawasan sekolah. Pihak sekolah telah membelanjakan RM4,000.00 hasil peruntukan pelbagai sumber untuk penambahbaikan Lorong dan aktiviti PPDa. Pada tahun ini juga, SKTPP telah menawarkan diri untuk memasuki Pertandingan Sudut / Lorong PPDa peringkat Negeri Selangor. Percubaan pertama melalui pertandingan ini SKTPP mendapat penarafan 3 bintang. Pada tahun 2013, AJK PPDa dan guru-guru hanya mengemaskini sudut yang ada. 

Perubahan tampuk pentadbiran pada awal tahun 2014 telah merubah lanskap PPDa SKTPP. Lorong PPDa telah berubah kepada Bilik Sumber PPDa. Hasil idea dan buah fikiran Pn. Hjh. Rohaidah bt. Mohd Ali selaku Guru Besar yang berpengalaman membawa SK Kota Warisan sehingga berjaya menjadi Johan dalam Pertandingan Bilik Sumber PPDa peringkat Negeri Selangor 2013, maka wujudlah Bilik Sumber PPDa SKTPP pada bulan Mac 2014. (Untuk rekod : SK Kota Warisan telah dinobatkan sebagai Johan Bilik Sumber PPDa Peringkat Kebangsaan 2014 - syabas!) Bilik Sumber tersebut merupakan sebuah bilik darjah aras bawah berhampiran surau yang mudah diakses oleh murid dan warga sekolah dalam mendapatkan info DARIH seterusnya menanamkan perasaan "Benci Dadah" dalam diri anak-anak murid dan warga sekolah. 

Beberapa rombakan dan pemurnian telah dibuat terhadap Ahli Jawatankuasa PPDa termasuk AJK Induk, AJK Bilik Sumber, AJK Pelaksana dan AJK Murid. Semua guru B&K seramai 4 orang telah dilantik sebagai Penyelaras dan Setiausaha bagi memantapkan lagi pengurusan PPDa di sekolah ini. Kerja-kerja penambahbaikan Bilik Sumber ini telah diketuai oleh En. Rusydan selaku Penyelaras merangkap Floor Manager Bilik Sumber PPDa bersama Ahli Jawatankuasa Bilik Sumber PPDa yang dilantik. Usaha mentransform wajah Bilik Sumber ini juga dibantu oleh semua guru dan staf SKTPP. Sumbangan kewangan dan tenaga pihak PIBG, syarikat-syarikat dan orang perseorangan telah banyak merealisasikan hasrat sekolah dalam memastikan Bilik Sumber PPDa ini lengkap dengan maklumat terkini serta ceria dalam semua aspek.

Alhamdulillah setelah penghakiman Pertandingan Bilik Sumber PPDa peringkat Negeri Selangor 2014 dilakukan, SKTPP telah berjaya mendapat Tempat Ke-2. Pihak sekolah merasa amat berbangga dengan kejayaan tersebut memandangkan ia merupakan percubaan pertama untuk kategori Bilik Sumber. Ia telah menjadi pendorong buat guru untuk meneruskan perjuangan dengan mempertingkatkan program dan aktiviti pendidikan pencegahan dadah demi sebuah generasi yang bebas DARIH selain mencuba untuk memperbaiki pencapaian yang telah diperolehi.

Pada tahun 2015, SKTPP sekali lagi telah dipilih untuk mewakili Daerah Sepang ke Pertandingan Bilik Sumber PPDa peringkat Negeri Selangor. Maka think-tank PPDa SKTPP setelah berbincang telah memutuskan untuk bertukar tempat dengan Bilik Kesihatan yang dikira lebih strategik, besar dan mudah diakses berbanding lokasi lama. Hasil kerjasama dan kerja kuat para guru, staf dan pekerja swasta, maka Bilik Sumber PPDa SKTPP dibangunkan dengan gigih dan terancang. Ia melibatkan kolaborasi bersama PIBG, agensi-agensi kerajaan / swasta dan komuniti sekitar. Kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan Bilik Bimbingan dan Kaunseling serta Bilik Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di tingkat bawah  memudahkan warga sekolah dan orang ramai mengunjungi seterusnya mendapatkan maklumat yang disediakan di dalamnya. Dengan tarikan yang ada di dalam Bilik Sumber PPDa ini, adalah diharapkan PPDa di sekolah ini akan mencapai objektif sebagaimana yang disarankan oleh KPM seterusnya murid-murid bukan sahaja boleh menjauhi dadah malahan dapat menerangkan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga akan bahaya DARVIH ini. Insya Allah..

No comments:

Post a Comment