Friday, 17 February 2023

Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PPDa Tertutup 2023

 

Berkampung selama 3 hari di padang dan Dataran SKTPP sedikit pun tidak membuat murid-murid patah semangat dalam mengungguli pertandingan sebagai juara. Tahun ini, ada kelainan kerana menggabungkan 2 aktiviti permainan yang besar iaitu bola sepak & bola jaring. Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

Seperti yang kita sedia maklum, kehidupan yang sihat amatlah penting dalam kehidupan seharian. Seakan-akan telah menjadi rutin setiap tahun Unit PPDa SKTPP mengadakan kejohanan seperti ini.  Program yang berasaskan sukan ini dikenali sebagai 'Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PPDa" telah mensasarkan murid Tahun 4, 5 & 6 sebagai peserta.

Objektif program kejohanan ini dan diharapkan ianya tercapai demi kecemerlangan murid SKTPP seperti berikut;

👏Mengeratkan perpaduan dan hubungan antara murid

👏Melahirkan murid yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan bola sepak dan bola jaring

👏Memupuk semangat kesukanan dan disiplin diri

👏Mencungkil bakat-bakat baru murid dan sebagai persediaan menyediakan pasukan sekolah yang cemerlang

👏Menjauhi gejala Dadah, Alkohol, Rokok, Vape, Inhalan & HIV/AIDS (DARVIH)

Lagi maklumat lanjut berkaitan aktiviti kejohanan di dalam Buku Program Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PPDa 2023.

Laporan bergambar sepanjang perlawanan dijalankan dirakam bagi mencipta kenangan buat pemain dan sekolah. Terima kasih juru lensa kamera yang begitu giat aktif mencari angle yang menarik untuk tatapan semua. 

Perlawanan Bola Sepak dan Bola Jaring antara kelas bermula dari 14-16 Februari (Selasa - Khamis). Penyelaras bersama-sama jawatankuasa kejohanan telah bertungkus-lumus dalam memastikan kejohanan ini berjalan dengan lancar.  

   👏Sebahagian gambar dan video sepanjang perlawanan Bola Sepak & Bola Jaring👏










                        

Majlis Perasmian Penutupan & Penyampaian Hadiah telah dijalankan pada 17 Februari 2023 (Jumaat) hari terakhir sekolah dan telah dirasmikan oleh Pn Hajah Rohaidah bt Mohd Ali (Guru Besar SKTPP). Terima kasih kepada Tn Hj Khairul Azhar bin Muhammad Suffian (YDP PIBG), Pn Norma bt Saad (NYDP PIBG) dan En Mohd Zamri bin Hassan (Pengerusi Soccer Star) kerana sudi hadir bersama-sama dalam majlis pada hari ini.

          👏Gambar sepanjang majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah👏











Tanpa kerjasama yang padu tidak mungkin kejohanan seperti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua JK yang telah bertungkus-lumus memastikan kejohanan ini dapat dijalankan seperti yang dirancang. 


"Thumbs Down" tidak pernah dilupakan. Semoga murid-murid SKTPP kekal dengan benteng Benci Dadah yang telah ditanam dalam minda bermula 2014 lagi.






Wednesday, 18 January 2023

Lawatan Penanda Arasan SK Jugra

Setelah 4 kali menunda tarikh lawatan akhirnya perancangan untuk mengunjugi SK Taman Putra Perdana (SKTPP) berjaya dimetrai pada hari ini. Selamat datang buat rombongan dari SK Jugra, Banting.

Pohon pedada di dalam hutan,
Jadi idaman si anak rusa,
Terima kasih kunjungan tuan,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

Rombongan tiba di SKTPP lebih kurang dalam pukul 2.30 petang. Kehadiran mereka disambut oleh Pn Noranismawati bt Mohd Faudzi (Pen.PPD Unit Pendidikan Swasta,PPD Sepang), Pn Hjh Rohaidah bt Mohd Ali (Guru Besar, SKTPP), barisan pentadbir, Pn Normawati bt Saad (NYDP, PIBG), Tuan Hj Megat bin Md Saleh (AJK PIBG) dan barisan JK Pelaksana. Istimewanya lawatan kali ini ialah kehadiran Guru Besar SK Jugra yang merupakan mantan PK Petang SKTPP. Beliau ialah Pn Siti Hanim bt Sungit. Kehadiran beliau juga ditemani oleh seramai 51 orang guru dan 3 orang wakil PIBG.

Semoga dengan kehadiran pasukan gerak kerja dari SK Jugra ini sedikit sebanyak dapat mencedok idea dan kepakaran dengan menggabungjalin kejayaan SKTPP agar dapat diolah dan disesuaikan untuk kecemerlangan murid di sana. Di samping itu, lawatan sebegini juga diharapkan mampu memurnikan budaya kerja cemerlang dalam memacu kecemerlangan bersesuaian dengan minat dan keperluan murid.Keterlibatan seramai 55 orang hari ini, dapat digambarkan kebersamaan antara satu sama lain.

Agenda lawatan adalah seperti berikut :

   
Maklumat lanjut tentang lawatan ini boleh klik Buku Program yang disediakan.

Sepanjang lawatan ini, titipan kenangan dibuat melalui rakaman memori bergambar dan diharapkan agar ianya dapat disimpan sebagai kenangan dan rujukan pada masa akan datang.


Tidak berakhir di situ, delegasi dari SK Jugra dibawa melawat bilik-bilik khas dengan mengikut kumpulan yang telah diaturkan. 


Lawatan Kumpulan 1 : Unit Kurikulum
Kumpulan ini dibawa oleh Ustazah Norlida bt Othman (menggantikan Pn Azizah bt Mokhlas yang menghadiri mesyuarat) ke bilik yang istimewa di SKTPP iaitu Ujana Ilmu dan Raudatul Ilmi. Ujana Ilmu di bawah pimpinan Pn Arnny Yusnita bt Md Enarji (Guru Perpustakaan & Media) pernah memenangi tempat ke-4 dalam Anugerah Kecemerlangan Pusat Sumber Sekolah Cemerlang (APPSSC) peringkat kebangsaan pada tahun 2019.

Tidak ketinggalan Musalla SKTPP yang diberi nama Raudatul Ilmi berjaya merangkul tempat ke-4 daripada 10 daerah di Negeri Selangor dalam Penarafan Surau Imarah Sekolah-Sekolah (PERSISS) Tahun 2022.



Kumpulan 2: Unit Hal Ehwal Murid (HEM)
Tiga entiti ini merupakan kumpulan besar yang membantu Unit HEM dalam kemenjadian murid iaitu Unit BOSS, Unit PPDa & Unit Bimbingan & Kaunseling. Pn Roseniza bt Setapa hari ini menyantuni rombongan SK Jugra ke bilik-bilik khas ini. Beliau menggantikan tempat Datin Noraizah bt Dun yang telah berangkat menunaikan umrah. Semoga Datin diberikan kesihatan yang baik dan mendapat umrah yang mabrur.

Pada tahun 2016/17, SKTPP telah memenangi anugerah 5 Bintang Bilik Sumber PPDa Peringkat Kebangsaan.Tahun 2016 juga Unit Bimbingan & kaunseling menjadi Johan dalam Anugerah Amalan & Pengurusan Terbaik Perkidmatan B&K Daerah Sepang dan pada tahun 2020 telah dianugerahkan pingat gangsa peringkat kebangsaan dalam pertandingan Inovasi & Kreativiti Minda Sihat Murid Sejahtera (Sekolah Rendah)

Lagi....pada tahun 2022 SKTPP telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam penyertaan sulung Anugerah Pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks Cemerlang Peringkat Negeri Selangor (Kategori Sekolah Rendah).




Kumpulan 3 : Unit Kokurikulum
Pelbagai kejayaan di peringkat MSSD sehinggalah MSN telah berjaya diraih oleh anak-anak SKTPP hasil bimbingan pentadbir dan juga guru-guru yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Terbaru, SKTPP telah terpilih sebagai lokasi penggambaran Sukan Kriket Adiwira bersama DidikTV KPM NTV7 




Kumpulan 4 : PPKI
Anak-anak istimewa dalam PPKI SKTPP sangatlah aktif sehingga telah menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah e-Nilam Pendidikan Khas Peringkat Negeri Selangor dan Johan Keseluruhan  Olahraga Terbaik Peringkat Daerah Sepang.

Lagi maklumat kejayaan boleh didapati di dalam Buku Program

Walaupun tiada dalam agenda, rombongan kali ini menggunakan masa sepenuhnya untuk menelaah seberapa maklumat yang boleh. Pentadbir dan JK Kerja sempat membuat lawatan ke pejabat SKTPP dan bilik-bilik pentadbir. 


Lawatan ini seperti penyatuan semula sahabat lama. Setelah beberapa tahun tidak berjumpa akhirnya bertemu semula di tempat yang pernah sama-sama menabur bakti. Selain Pn Siti Hanim, Pn Ainul Balkish juga pernah bekerja sebumbung di SKTPP. Bertemu seketika, sedikit sebanyak menghilangkan rindu dan sempat bertanya khabar antara satu sama lain. Begitu juga dengan Pn Hjh Rohaidah dan Pn Siti Hanim telah lama mengenali antara satu sama lain. Manakala, Pn Fauziah dan Pn Siti Hanim pernah saling mengenali semasa berada di SKTPP 2 sebelum ini. Semoga ukhwah yang terjalin, semakin erat💕




Alhamdulillah, lebih kurang 6.40 petang rombongan dari SK Jugra bertolak pulang. Semoga lawatan kali ini memberi seribu makna buat SK Jugra dan juga SKTPP. Selain daripada mendapat ilmu melalui perkongsian kejayaan, lawatan ini juga mengeratkan lagi silaturrahim antara kedua-dua sekolah. Terima kasih buat Pentadbir, Barisan AJK PIBG, JK Pelaksana dan semua warga SKTPP atas kerjasama yang padu.  

Lihatlah lambaian terakhir sebahagian guru-guru SK Jugra sebelum berangkat pulang penuh dengan senyuman. Sehingga berjumpa lagi.😍





Saturday, 22 October 2022

Lawatan Penanda Arasan SK Setia Alam dan SK Methodist Pelabuhan Klang ke SKTPP

Tarikh   : 6 Oktober 2022

Hari       : Khamis

Masa     : 8.30 pagi

Tempat : Terminal Muafakat, Ujana Ilmu, Bilik Sumber PPDa, Bilik Operasi SPBT Sekolah (SPBT), Musalla Raudatul Ilmi dan Bilik Bitara Kriket


Pada 6 Oktober 2022 (KhamiS), SK Taman Putra Perdana telah menerima kunjungan mesra daripada dua buah sekolah iaitu SK Setia Alam dan SK Methodist Pelabuhan Klang ke sekolah ini yang mana kedua-dua sekolah tersebut dalam sesi lawatan penanda arasan bagi berkongsi idea dan percambahan buah fikiran yang dapat dikongsi bersama dalam memajukan dan membangunkan lagi prestasi dan keperluan di sekolah masing-masing. Keterlibatan barisan guru daripada kedua-dua buah sekolah ini adalah seramai 25 orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Di antara objektif lawatan ini adalah:

  • Berkongsi idea dan kepakaran dengan menggabungjalin kejayaan SK Taman Putra Perdana agar dapat diolah dan disesuaikan untuk kecemerlangan murid.
  • Merancang dan menyelaras program-program sekolah agar potensi murid dapat ditingkatkan dengan perancangan yang lebih bersesuaian.
  • Memurni budaya kerja cemerlang dalam kalangan guru-guru agar dapat memacu kecemerlangan murid dengan cara yang bersesuaian dengan minat dan keperluan mereka.

Kedua-dua delegasi kepimpinan daripada kedua-dua buah sekolah tiba di SK Taman Putra Perdana pada jam 8.30 pagi dan telah disambut oleh Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku guru besar serta kesemua barisan pentadbir sekolah. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu Tuan Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian turut sama menyambut ketibaan ahli rombongan. Seterusnya kesemua tetamu telah dibawa ke Dataran Perhimpunan SKTPP untuk sesi fotografi sebagai kenang-kenangan yang akan diingati dalam lipatan sejarah sekolah.

Gambar-gambar semasa ketibaan pelawat di SK Taman Putra Perdana: 






Sebaik sahaja sesi fotografi selesai, para pelawat telah dibawa ke Terminal Muafakat untuk agenda seterusnya. Mereka telah dijamu dengan santapan makanan seadanya.

Gambar-gambar semasa semua pelawat sedang menikmati jamuan yang telah disediakan:






Kini, tibalah masa kepada agenda utama lawatan penanda arasan ini iaitu sesi perkongsian dan kolaborasi antara ketiga-tiga sekolah yang terlibat. Ustaz Syed Farhan Hanafi bin Syed Abdullah selaku pengerusi majlis telah memberikan kata-kata aluan sebagai pembuka bicara serta mengalu-alukan kedatangan semua tetamu yang diraikan ke SKTPP.



Bagi memberkati majlis, Ustaz Mohd Ishak Shairazi bin Mohd Sauzi telah membacakan doa memohon restu dan redha Ilahi supaya segala perancangan majlis dipermudah serta mendapat keberkatan daripada ALLAH S.W.T.


Bagi memulakan majlis, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku Guru Besar SK Taman Putra Perdana telah menyampaikan ucapannya. Beliau memberikan penghargaan kepada semua barisan pentadbir dan PIBG yang turut sama hadir memeriahkan majlis serta mengalu-alukan kedatangan semua delegasi guru yang turut serta dalam lawatan penanda arasan ini. Bukan itu sahaja, beliau turut sama berkongsi kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh SK Taman Putra Perdana bermula dari tahun 2014 sehingga kini. Secara tidak langsung, kejayaan yang telah dikecapi merupakan kebitaraan sekolah.




Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Tuan Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seterusnya mewakili ibu bapa pelajar di sekolah ini. Beliau mengucapkan selamat datang kepada semua ahli delegasi yang hadir serta mengucapkan terima kasih kerana memilih SK Taman Putra Perdana sebagai jaringan yang dibentuk bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi PIBG, beliau telah berkongsikan peranan dan tanggungjawab organisasi PIBG dalam membantu kelancaran pengurusan program sekolah juga sebagai saluran yang menghubungkan ibu bapa dan guru di sekolah.


Tidak lengkap kiranya tidak mendengar kalam bicara dua orang tonggak pimpinan daripada kedua-dua sekolah yang diraikan. Pertama, ucapan Tuan Haji Dr. Ahmad Fuadi bin Sarham selaku Guru Besar SK Methodist Pelabuhan Klang. Beliau merupakan bekas Guru Penolong Kanan Pentadbiran & Kurikulum di sekolah ini sebelum khidmatnya diperlukan di sekolah tersebut. Kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini menjadi penyumbang utama serta pengalaman yang dimiliki dalam menyambung kecemerlangan pendidikan murid di sekolah tersebut. Beliau turut sama berkongsi pahit getir serta perjuangannya di sekolah yang baru serta usahanya dalam mencapai kejayaan yang membanggakan.


Tn. Hj. Dr. Ahmad Fuadi bin Sarham : GB SK Methodist, Pelabuhan Klang

Encik Mohamad Fadzli bin Abdul Rahman pula merupakan Guru Besar SK Setia Alam yang tidak kurang hebatnya. Beliau juga tidak lokek berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki bersama semua yang hadir. Walaupun masih lagi baru menyandang jawatan sebagai guru besar di sekolah tersebut, namun bakat serta kredibiliti sebagai seorang ketua cukup terserlah ditambah pula dengan keupayaan dan kehebatan yang turut dikongsi bersama guru-guru di bawah pimpinannya yang juga membawa kepada kemajuan dan kecemerlangan sekolah umumnya serta murid secara khususnya.

En. Mohamad Fadzli bin Abdul Rahman : GB SK Setia Alam

Sebaik sahaja selesai ucapan daripada kesemua barisan guru besar, majlis diteruskan dengan persembahan video hasil idea kreatif daripada Encik Wan Faizol bin Wan Mat yang mana video tersebut memaparkan barisan kepimpinan SK Taman Putra Perdana, kemudahan dan bilik-bilik khas yang terdapat di sekolah serta kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh murid dan sekolah secara keseluruhan. Video berdurasi hampir 30 minit ini juga merupakan tayangan montaj yang telah digunakan semasa Penilaian Anugerah Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2019  yang memberikan pencapaian Tempat Keempat. Ianya merupakan kejayaan yang sangat membanggakan yang pastinya membawa kenangan dan pengalaman yang besar kepada semua warga sekolah untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.


Sesi menandatangani sijil jaringan menjadi bukti termetrainya jaringan dan kerjasama antara ketiga-tiga sekolah ini. Sesi ini dimulakan dahulu dengan SK Methodist Pelabuhan Klang dan diikuti pula dengan SK Setia Alam. Sesi penyerahan sijil jaringan dan penyampaian cenderamata sebagai kenang-kenangan turut dijalankan semasa sesi ini. Dengan selesainya penyerahan sijil jaringan dan cenderamata ini maka berakhirlah sesi perkongsian rasmi di dalam Terminal Muafakat.

Gambar-gambar semasa sesi menandatangani sijil jaringan antara SK Taman Putra Perdana bersama dengan SK Methodist Pelabuhan Klang dan SK Setia Alam serta penyampaian cenderahati antara ketiga-tiga sekolah yang terlibat:












Tidak berakhir di situ, kesemua delegasi kepimpinan ini dibawa melawat ke bilik-bilik khas yang terdapat di sekolah ini, antaranya ialah:

  • Pusat Sumber (Ujana Ilmu)
  • Surau (Musalla Raudatul Ilmi)
  • Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS)
  • Bilik Sumber PPDa
  • Bilik Bitara kriket

Pusat Sumber (Ujana Ilmu)

Guru Perpustakaan dan Media (GPM), Puan Arnny Yusnita binti Md. Enarji telah menunjukkan ruang-ruang yang ada di dalam Ujana Ilmu. Beliau berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang ada sepanjang mengurus serta mengemudi Ujana Ilmu sehinggalah sekarang. Beliau tidak lokek berkongsi apa yang ada di Ujana Ilmu yang mana input dan idea yang dikongsi boleh digunakan di sekolah yang terlibat. 
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Pusat Sumber Sekolah (Ujana Ilmu):







Surau (Musalla Raudatul Ilmi)
Penyelaras Musalla Raudatul Ilmi, Puan Noorayuni binti Ab. Fatah menyambut ketibaan tetamu di pintu masuk musalla yang turut merangkumi taman dihadapannya.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Musalla Raudatul Ilmi:






Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS)
Penyelaras Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS) iaitu Puan Jamilah binti Mohd Yusof setia menanti ketibaan tetamu yang diraikan. Bilik khas ini baru sahaja memenangi Tempat Ketiga dalam Anugerah Pengurusan SPBT Cemerlang Peringkat Negeri Selangor.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS):







Bilik Sumber PPDa
Guru Bimbingan dan Kaunseling, Puan Juli binti Mahbah bersama dengan Duta Kecil yang terdiri daripada murid Tahun 5 dan Tahun 6 menyambut ketibaan tetamu di pintu masuk bilik. Mereka teruja melihat bilik tersebut yang penuh dengan bahan-bahan pameran dan sudut informasi yang sangat berguna dalam membentuk peribadi murid yang terhindar daripada melakukan perkara-perkara negatif.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Bilik Sumber PPDa:







Bilik Bitara Kriket
Di dalam Bilik Bitara Kriket, jurulatih kriket, Encik Ahmad Junaidi bin Abdullah telah berkongsi pengalamannya membina sebuah pasukan kriket bermula daripada bawah sehinggalah mencapai kejayaan yang sangat membanggakan bukan sahaja di peringkat sekolah malahan ke peringkat kebangsaan. Beliau yang sangat bersemangat dan bercita-cita tinggi turut sama berkongsi antara kekuatan yang perlu ada dalam membina sebuah pasukan yang hebat.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Bilik Bitara Kriket:





Sebagai tambahan, semua pelawat dibawa ke Prasekolah dan Bilik Kokurikulum. Selesai sahaja semua tetamu melawat ke bilik-bilik khas, maka berakhirlah sesi lawatan penanda arasan SK Methodist Pelabuhan Klang dan SK Setia Alam ke SK Taman Putra Perdana. Diharapkan lawatan ini dapat memberikan banyak input dan perkongsian yang membina kepada semua pihak yang terlibat yang mana segala perkongsian boleh diaplikasikan mengikut kesesuaian sekolah masing-masing. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat memberi inspirasi & semangat kepada warga sekolah bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah ke tahap yang lebih tinggi dan terbaik
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Prasekolah dan Bilik Kokurikulum:




Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua barisan pentadbir, guru-guru dan jawatankuasa pelaksana bagi ketiga-tiga sekolah yang telah menjayakan lawatan ini secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya, segala pengorbanan dan kerjasama yang diberikan akan membentuk satu kesefahaman yang padu dalam mencapai objektif dan matlamat melahirkan kemenjadian murid yang terpuji. Semoga usahasama ini akan dapat dilanjutkan lagi pada masa akan datang. Guru Besar bagi kedua-dua buah sekolah sempat mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas layanan dan masa yang diberikan kepada mereka dan mengharapkan agar ada lagi kolaborasi bersama pada masa depan. Mereka juga memohon maaf sekiranya terdapat khilaf dan salah sepanjang berada di SKTPP. In Syaa Allah kita akan bertemu lagi nanti. Mereka meninggalkan SKTPP pada jam 1.00 petang. Walaupun mereka tidak berada lama di sini, namun kenangan dan ingatan akan tetap terpahat selamanya.

Bunga dedap di atas para,

Anak dusun pasang pelita,

Kalau tersilap tutur bicara,

Jemari disusun maaf dipinta.

Hati gembira bersama teman,

Bergembira ria di bawah jambatan,

Seandainya kita diizin Tuhan,

Tentu bersua di hari kemudian.


TERIMA KASIH SK METHODIST PELABUHAN KLANG 

SK SETIA ALAM


Disediakan oleh :

Syahirah Tumar