Friday, 17 February 2023

Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PPDa Tertutup 2023

 

Berkampung selama 3 hari di padang dan Dataran SKTPP sedikit pun tidak membuat murid-murid patah semangat dalam mengungguli pertandingan sebagai juara. Tahun ini, ada kelainan kerana menggabungkan 2 aktiviti permainan yang besar iaitu bola sepak & bola jaring. Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

Seperti yang kita sedia maklum, kehidupan yang sihat amatlah penting dalam kehidupan seharian. Seakan-akan telah menjadi rutin setiap tahun Unit PPDa SKTPP mengadakan kejohanan seperti ini.  Program yang berasaskan sukan ini dikenali sebagai 'Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PPDa" telah mensasarkan murid Tahun 4, 5 & 6 sebagai peserta.

Objektif program kejohanan ini dan diharapkan ianya tercapai demi kecemerlangan murid SKTPP seperti berikut;

👏Mengeratkan perpaduan dan hubungan antara murid

👏Melahirkan murid yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan bola sepak dan bola jaring

👏Memupuk semangat kesukanan dan disiplin diri

👏Mencungkil bakat-bakat baru murid dan sebagai persediaan menyediakan pasukan sekolah yang cemerlang

👏Menjauhi gejala Dadah, Alkohol, Rokok, Vape, Inhalan & HIV/AIDS (DARVIH)

Lagi maklumat lanjut berkaitan aktiviti kejohanan di dalam Buku Program Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PPDa 2023.

Laporan bergambar sepanjang perlawanan dijalankan dirakam bagi mencipta kenangan buat pemain dan sekolah. Terima kasih juru lensa kamera yang begitu giat aktif mencari angle yang menarik untuk tatapan semua. 

Perlawanan Bola Sepak dan Bola Jaring antara kelas bermula dari 14-16 Februari (Selasa - Khamis). Penyelaras bersama-sama jawatankuasa kejohanan telah bertungkus-lumus dalam memastikan kejohanan ini berjalan dengan lancar.  

   👏Sebahagian gambar dan video sepanjang perlawanan Bola Sepak & Bola Jaring👏










                        

Majlis Perasmian Penutupan & Penyampaian Hadiah telah dijalankan pada 17 Februari 2023 (Jumaat) hari terakhir sekolah dan telah dirasmikan oleh Pn Hajah Rohaidah bt Mohd Ali (Guru Besar SKTPP). Terima kasih kepada Tn Hj Khairul Azhar bin Muhammad Suffian (YDP PIBG), Pn Norma bt Saad (NYDP PIBG) dan En Mohd Zamri bin Hassan (Pengerusi Soccer Star) kerana sudi hadir bersama-sama dalam majlis pada hari ini.

          👏Gambar sepanjang majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah👏











Tanpa kerjasama yang padu tidak mungkin kejohanan seperti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua JK yang telah bertungkus-lumus memastikan kejohanan ini dapat dijalankan seperti yang dirancang. 


"Thumbs Down" tidak pernah dilupakan. Semoga murid-murid SKTPP kekal dengan benteng Benci Dadah yang telah ditanam dalam minda bermula 2014 lagi.






Wednesday, 18 January 2023

Lawatan Penanda Arasan SK Jugra

Setelah 4 kali menunda tarikh lawatan akhirnya perancangan untuk mengunjugi SK Taman Putra Perdana (SKTPP) berjaya dimetrai pada hari ini. Selamat datang buat rombongan dari SK Jugra, Banting.

Pohon pedada di dalam hutan,
Jadi idaman si anak rusa,
Terima kasih kunjungan tuan,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

Rombongan tiba di SKTPP lebih kurang dalam pukul 2.30 petang. Kehadiran mereka disambut oleh Pn Noranismawati bt Mohd Faudzi (Pen.PPD Unit Pendidikan Swasta,PPD Sepang), Pn Hjh Rohaidah bt Mohd Ali (Guru Besar, SKTPP), barisan pentadbir, Pn Normawati bt Saad (NYDP, PIBG), Tuan Hj Megat bin Md Saleh (AJK PIBG) dan barisan JK Pelaksana. Istimewanya lawatan kali ini ialah kehadiran Guru Besar SK Jugra yang merupakan mantan PK Petang SKTPP. Beliau ialah Pn Siti Hanim bt Sungit. Kehadiran beliau juga ditemani oleh seramai 51 orang guru dan 3 orang wakil PIBG.

Semoga dengan kehadiran pasukan gerak kerja dari SK Jugra ini sedikit sebanyak dapat mencedok idea dan kepakaran dengan menggabungjalin kejayaan SKTPP agar dapat diolah dan disesuaikan untuk kecemerlangan murid di sana. Di samping itu, lawatan sebegini juga diharapkan mampu memurnikan budaya kerja cemerlang dalam memacu kecemerlangan bersesuaian dengan minat dan keperluan murid.Keterlibatan seramai 55 orang hari ini, dapat digambarkan kebersamaan antara satu sama lain.

Agenda lawatan adalah seperti berikut :

   
Maklumat lanjut tentang lawatan ini boleh klik Buku Program yang disediakan.

Sepanjang lawatan ini, titipan kenangan dibuat melalui rakaman memori bergambar dan diharapkan agar ianya dapat disimpan sebagai kenangan dan rujukan pada masa akan datang.


Tidak berakhir di situ, delegasi dari SK Jugra dibawa melawat bilik-bilik khas dengan mengikut kumpulan yang telah diaturkan. 


Lawatan Kumpulan 1 : Unit Kurikulum
Kumpulan ini dibawa oleh Ustazah Norlida bt Othman (menggantikan Pn Azizah bt Mokhlas yang menghadiri mesyuarat) ke bilik yang istimewa di SKTPP iaitu Ujana Ilmu dan Raudatul Ilmi. Ujana Ilmu di bawah pimpinan Pn Arnny Yusnita bt Md Enarji (Guru Perpustakaan & Media) pernah memenangi tempat ke-4 dalam Anugerah Kecemerlangan Pusat Sumber Sekolah Cemerlang (APPSSC) peringkat kebangsaan pada tahun 2019.

Tidak ketinggalan Musalla SKTPP yang diberi nama Raudatul Ilmi berjaya merangkul tempat ke-4 daripada 10 daerah di Negeri Selangor dalam Penarafan Surau Imarah Sekolah-Sekolah (PERSISS) Tahun 2022.



Kumpulan 2: Unit Hal Ehwal Murid (HEM)
Tiga entiti ini merupakan kumpulan besar yang membantu Unit HEM dalam kemenjadian murid iaitu Unit BOSS, Unit PPDa & Unit Bimbingan & Kaunseling. Pn Roseniza bt Setapa hari ini menyantuni rombongan SK Jugra ke bilik-bilik khas ini. Beliau menggantikan tempat Datin Noraizah bt Dun yang telah berangkat menunaikan umrah. Semoga Datin diberikan kesihatan yang baik dan mendapat umrah yang mabrur.

Pada tahun 2016/17, SKTPP telah memenangi anugerah 5 Bintang Bilik Sumber PPDa Peringkat Kebangsaan.Tahun 2016 juga Unit Bimbingan & kaunseling menjadi Johan dalam Anugerah Amalan & Pengurusan Terbaik Perkidmatan B&K Daerah Sepang dan pada tahun 2020 telah dianugerahkan pingat gangsa peringkat kebangsaan dalam pertandingan Inovasi & Kreativiti Minda Sihat Murid Sejahtera (Sekolah Rendah)

Lagi....pada tahun 2022 SKTPP telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam penyertaan sulung Anugerah Pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks Cemerlang Peringkat Negeri Selangor (Kategori Sekolah Rendah).




Kumpulan 3 : Unit Kokurikulum
Pelbagai kejayaan di peringkat MSSD sehinggalah MSN telah berjaya diraih oleh anak-anak SKTPP hasil bimbingan pentadbir dan juga guru-guru yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Terbaru, SKTPP telah terpilih sebagai lokasi penggambaran Sukan Kriket Adiwira bersama DidikTV KPM NTV7 




Kumpulan 4 : PPKI
Anak-anak istimewa dalam PPKI SKTPP sangatlah aktif sehingga telah menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah e-Nilam Pendidikan Khas Peringkat Negeri Selangor dan Johan Keseluruhan  Olahraga Terbaik Peringkat Daerah Sepang.

Lagi maklumat kejayaan boleh didapati di dalam Buku Program

Walaupun tiada dalam agenda, rombongan kali ini menggunakan masa sepenuhnya untuk menelaah seberapa maklumat yang boleh. Pentadbir dan JK Kerja sempat membuat lawatan ke pejabat SKTPP dan bilik-bilik pentadbir. 


Lawatan ini seperti penyatuan semula sahabat lama. Setelah beberapa tahun tidak berjumpa akhirnya bertemu semula di tempat yang pernah sama-sama menabur bakti. Selain Pn Siti Hanim, Pn Ainul Balkish juga pernah bekerja sebumbung di SKTPP. Bertemu seketika, sedikit sebanyak menghilangkan rindu dan sempat bertanya khabar antara satu sama lain. Begitu juga dengan Pn Hjh Rohaidah dan Pn Siti Hanim telah lama mengenali antara satu sama lain. Manakala, Pn Fauziah dan Pn Siti Hanim pernah saling mengenali semasa berada di SKTPP 2 sebelum ini. Semoga ukhwah yang terjalin, semakin erat💕




Alhamdulillah, lebih kurang 6.40 petang rombongan dari SK Jugra bertolak pulang. Semoga lawatan kali ini memberi seribu makna buat SK Jugra dan juga SKTPP. Selain daripada mendapat ilmu melalui perkongsian kejayaan, lawatan ini juga mengeratkan lagi silaturrahim antara kedua-dua sekolah. Terima kasih buat Pentadbir, Barisan AJK PIBG, JK Pelaksana dan semua warga SKTPP atas kerjasama yang padu.  

Lihatlah lambaian terakhir sebahagian guru-guru SK Jugra sebelum berangkat pulang penuh dengan senyuman. Sehingga berjumpa lagi.😍